1 Mei 2015

4 Langkah Pencegahan Daripada Jangkitan Nematod Pada Pokok Tin

Oleh Tuan   ~

Pada kali ini saya ingin berkongsi satu kes masalah pokok yang tidak mahu membesar dan tidur secara berterusan.. dan ini adalah kisahnya..

Simptom dan masalah pertumbuhan

Pokok ini (rujuk gambar dibawah) pada umumnya pertumbuhan terbantut - tiada pertumbuhan pucuk sejak beberapa bulan. Pokok-pokok yang seangkatan dengannya telah jauh meninggalkannya dengan pertumbuhan pucuk dan ceding baru dan dah ada pun yang telah mengeluarkan mata katak.  Pokok tidak layu, daun berwarna hijau tua (tiada pucuk muda) dan nampak sengit (stiff).  Pada peringkat awal pemilik pokok ini menyangka ianya disebabkan pokok itu sedang tidur (dormant stage).  Beberapa jenis bahan penggerak tidur (plant booster) telah digunakan tanpa mendapat hasil yang baik... pokok terus tidur.

Kesan jankitan nematod puru pada 
pertumbuhan pokok - tergencat / tidak membesar


Akar yang berbutir-butir disebabkan
serangan nematod puru akar

Gambar dekat bintil nematod

Pada satu hari, pemilik pokok ini telah membuat keputusan untuk menengok apa yang telah terjadi pada akar dan terus mencabut pokok tersebut.  Gambar diatas ialah apa yang telah terjadi pada akar pokoknya.... dan ianya disahkan oleh sifu pokok tin ianya disebabkan oleh nematod puru akar.

Apa itu nematod?

Nematod ialah sejenis sejenis haiwan intertebrata yang boleh hidup dalam tanah, tanaman dan juga air. Spesis yang menyerang pokok biasanya tidak boleh terus hidup dalam air. Perosak ini hidup dalam tumbuhan dengan memakan kandungan sel-sel akar, batang dan daun. Spesis nematod yang menyebabkan akar berbutir ialah Meloidogyne incognita and M. javanica

Simptom dan kerosakan pada tanaman

Simptom utama pokok tin yang telah dikerumuni oleh ialah cacing nematod ialah pertumbuhan yang terbantuk, daun tidak membesar dan biasanya berwarna hijau tua (tiada pucuk baru).  Kadar pertumbuhan akan jauh ketinggalan berbanding dengan pokok yang sebaya dengannya walaupun baja, air dan bahan penggalak pertumbuhan bersesuaian telah diberi.  Biasanya pokok tidak mati.  Simptom yang jelas boleh dilihat apabila dicabut dan pemerhatian dibuat kepada akar. Akar didapati berpuru pada akar rerambut (lihat gambar).

Secara amnya, nematod menyebabkan kerosakan fizikal ke atas akar, batang atau daun.  Simptom kerosakan pada organ-organ ini biasanya berbentuk lesion, puru dan kehitaman. Keseluruhan pokok nampak kurang sihat dan kelihatan seperti kekurangan zat makanan. Dalam keadaan kemarau atau tegasan yang lain, tanaman menjadi mudah layu. Selain daripada kerosakan fizikal secara langsung, nematod juga mengalakkan jangkitan pathogen-pathogen lain seperti bakteria dan kulat. Sebagai contoh, nematod puru akar iaitu Meloidogyne incognita bersaling tindak dengan Fusarium solani dan seterusnya mengakibatkan kerosakan yang teruk pada tanaman tembakau.

Pengurusan masalah nematod

Cara terbaik untuk mengurus masalah serangan nematod ialah dengan cara mengamalkan langkah pencegahan. Ini kerana apabila pokok sudah terkena jangkitan nematod langkah untuk memulih pokok yang telah terkena jangkitan adalah agak sukar.

Langkah pencegahan yang patut diamalkan

Langkah-langkah pencegahan yang seharusnya diamalkan oleh semua penanam pokok tin adalah seperti berikut:

1.  Pastikan media yang diguna tidak tercemar dengan nematod - Nematod didapati banyak membiak di dalam pasir (terutama sekali pasir halus). Walau bagaimanapun nematod yang menyerang tanaman tidak boleh hidup didalam air. Sehubungan dengan itu pasir yang digunakan untuk campuran media mesti diperolehi dikawasan yang biasa ditengelami air. Ini bermakna pasir hendaklah diambil dari lapisan bawah yang sentiasa di tengelami air. Yang terbaik ialah pasir yang diperoleh dari dasar sungai.

Satu lagi sumber media yang biasa menjadi sumber nematod ialah tanah lapisan atas (top soil).  Sebaiknya elak menggunakan tanah lapisan atas sebagai bahan campuran media.  Jika terpaksa digunakan, tanah tersebut hendak dirawat terlebih dahulu dengan mendedahkan kepada cahaya matahari panas (dibawah bungkusan plastik). Proses ini lebih dikenali dengan solarisasi (solarisation).  Tanah bakar ialah bahan terbaik untuk media semaian anak benih ataupun penanaman.

2.  Jangan letak anak benih atau bekas penanaman terus di atas tanah
Sebaiknya anak benih atau bekas penanaman tidak diletak terus diatas tanah yang berpasir.  Ini bagi mengelakkan sumber nematod yang terdapat dalam pasir menjangkiti tanaman berkenaan.

3.  Rawatan media yang diguna secara berkala dengan bahan pencegah perosak - Kehadiran perosak lain dalam media boleh menyebab akar mudah dijangkiti nematod ini. Sehubungan dengan itu terbaik ialah rawat media dengan bahan pencegah perosak seperti produk organik hasilan pokok neem (neem oil) secara berkala.

4.  Sentiasa kekal kesuburan tanaman - Pokok yang sihat pada kebiasaannya lebih sukar untuk diserang perosak termasuk nematod.  Sehubungan dengan itu, tanaman seharusnya diuruskan pada tahap pertumbuhan yang optimum.  Selaian daripada itu ada juga beberapa bahan sumber baja yang dilaporkan boleh meningkatkan ketahanan pokok terhadap penyakit dan perosak.  Antara bahan tersebut ialah ialah baja kulit udang.  Produk yang terhasil daripada kulit udang atau ketam seperti chitosan dan oligochitosan yang telah terbukti dapat meningkatkan ketahanan pokok terhadap perosak.  Pengelaman beberapa pengusaha pokok juga ada menyatakan molases juga boleh membantu meningkat ketahanan tanaman terhadap perosak dan penyakit.

Langkah penyelesaian pokok yang dijangkiti nematod

Bagi saya tiada cara lain untuk merawat pokok yang telah dijangkiti dengan nematod selain membongkar pokok tersebut dan memotong akar yang terkena jangkitan dan tanam semula sebagai bare root baru. Sebelum menanam, bahagian akar hendaklah terlebih dahulu dirawat dengan bahan pengalak akar seperti B1.

Untuk lebih selamat, kesemua bahagian akar hendaklah dipotong dan disemai sebagai semaian keratan baru.  Walaupun dipasaran ada racun khusus untuk nematod seperti Telone C35 dan juga Furadan, penggunaannya tidak menjamin dapat menyelesaikan masalah tersebut.  Tambahan lagi pokok tin ialah sejenis pokok yang mudah membesar dan lebih cepat dibesarkan dari pokok anak bare root atau keratan ranting berbanding dengan merawat akar yang telah terkena jangkitan.

Media yang dibongkar dari pokok yang terkena jangkitan hendaklah dihapuskan secara membakar bagi mengelakkan ianya menjangkiti tanaman lain.

Catatan:

Terima kasih diucapkan kepada Sdr. Malik Yusuf dan Sdr. Yahaya Hussain yang banyak berkongsi maklumat untuk penulisan ini.

Tiada ulasan:
Write comments

Ingin membeli anak pokok tin berkualiti? klik > http://abecik.fig
Join Our Newsletter