12 Apr 2015

Peringkat Pertumbuhan & Pembajaan Pokok Tin

Oleh Tuan   ~

Dalam dua posting sebelum ini dalam siri baja dan pembajaan, saya telah memperincikan nutrient yang diperlukan untuk pertumbuhan pokok dan jenis baja yang ada dipasaran pada masa ini.  Dengan kefahaman dari dua posting tersebut, pada posting ini saya ingin berkongsi berkenaan dengan pengesyoran pembajaan yang mengikut pertumbuhan pokok.  Pengesyoran ini adalah berasaskan keperluan nutrien dan jenis baja mengikut peringkat pertumbuhan. Pertumbuhan pokok (dan juga pokok tin) pada umumnya boleh dibahagikan kepada 3 peringkat seperti berikut:

1.  Peringkat pemulihan dan pembesaran anak dalam polybag atau pasu kecil
2.  Peringkat pertumbuhan vegetatif atau pembesaran
3.  Peringkat pengeluaran bunga dan berbuah


Anak dalam polybag & pasu kecil

Peringkat pemulihan dan pembesaran anak dalam polybag

Anak benih pada biasanya dipasarkan dalam beberapa bentuk seperti anak tut yang belum ditanam ke dalam bekas transit (pasu kecil atau polybag).  Pokok pada peringkat ini adalah sensitif kerana akar yang terbentuk adalah akar baru dan sangat sensitif kepada faktor luar seperti air yang berlebihan, pancaran matahari dan juga amalan pembajaan. Sebagai peringatan pokok-pokok ini hendaklah ditempatkan ditempah teduh dan dipindah ke tempat panas sepenunya apabila anak pokok ini telah betul stabil.  Baja tidak perlu diberi kepada anak benih yang belum stabil.  Baja yang ada dalam media adalah sudah mencukupi untuk pertumbuhan awal.    Walau bagaimanapun baja yang bersesuaian harus diberi apabila anak benih berkenaan sudah mula stabil (pengeluaran pucuk baru) dan sedia untuk pembesaran selanjutnya.  Jenis baja yang disyorkan ialah baja jenis organik (seperti baja kopi atau Complehumus 8:8:8:3 Mgo + TE) yang banyak dipasaran pada masa ini.  Baja ini adalah lengkap dengan nutrien makro dan mikro.  Kebaikan baja jenis ini ialah pembebasan nutrien adalah secara perlahan dan tidak akan menyebabkan keracunan pada tanaman.  Penggunaan baja organik yang sumber nutriennya tidak lengkap boleh menyebabkan pokok akan terbantut disebabkan kekurangan sumber nutrien tertentu.  Baja foliar juga boleh digunakan asalkan anda tahu kepekatan yang bersesuaian dan cara penggunaannya.  


Anak dalam bekas penanaman kekal 
(Peringkat pembesaran & pertumbuhan vegetatif)

Contoh baja subur
(N:P:K + TE = 21:21:21 + TE)

Peringkat pertumbuhan vegetatif atau pembesaran

Pada peringkat ini pokok aktif membesar dengan pertumbuhan pucuk dan ceding baru.  Pertumbuhan adalah pada kebiasaanya sangat cepat dan boleh membesar sehingga 1.0 - 1.2 kaki setiap bulan.  Pada peringkat ini, pokok memerlukan nutrien N, P, K, Ca, Mg dan sumber elemen mikro yang seimbang.  Di pasaran ianya lebih dikenali dengan baja subur dan selalunya menggunakan jenama atau label yang menggambar pertumbuhan.  Sebagai contoh ada produk yang diberi nama NKP hijau.  Label pembungkusan (bag atau botol) juga selalunya bewarna hijau.  Baja formulasi ada dalam pelbagai bentuk sama ada dalam bentuk granul diberi ketanah atau dalam bentuk serbuk yang terlebih dahulu dilarutkan untuk penyemburan secara foliar (semburan).

Baja organik tinja kambing dan sebagainya boleh diteruskan diberi kerana ianya bagus untuk menjaga kesihatan tanah (soil health).  Baja kopi yang berasaskan asid humic juga boleh diberikan kerana asid humic sangat bagus untuk pertumbuhan pokok.  Kadar dan kekerapan yang diberi adalah bergantung kepada formulasi dan media digunakan.


Peringkat yang cukup besar dan sedia untuk berbuah
atau sedang berbuah

Contoh baja buah (K Tinggi)
(N:P:K + TE = 15:15:30 + TE) 

Baja sebatian lengkap / K tinggi untuk buah
(N:P:K = 13:10:21) + 2MgO + CaO + TE + HA (Humic Acids)

Peringkat pengeluaran bunga dan berbuah

Pada peringkat ini pokok sudang matang dan sedia berbunga dan seterusnya menghasilkan buah.  Bagi pengeluaran buah pokok memerlukan nutrien K yang tinggi. Kekurangan K akan menyebabkan buah menjadi kecil dan tidak manis sebagaimana yang diharapkan.  Sehubungan dengan itu, baja yang disyorkan untuk digunakan semestinya mengandungi kandungan K yang tinggi.   Pada umumnya ia lebih dikenali dengan baja buah.  Pembungkusannya pada kebiasaanya bewarna biru atau merah.  Baja formulasi ini juga ada pelbagai jenis sama ada untuk semburan atau baja butiran.

Baja organik asli seperti tinja kambing dan baja humus seperti baja kopi boleh diteruskan seperti biasa.

Maklumat berkaitan

Jenis-Jenis Baja Yang Terdapat Di Pasaran Untuk Pokok Tin
Nutrien Makro / Mikro Dan Fungsi Dalam Pertumbuhan Pokok Tin


Tiada ulasan:
Write comments

Ingin membeli anak pokok tin berkualiti? klik > http://abecik.fig
Join Our Newsletter