18 Mei 2015

13 Tip Amalan Membaja Pokok Tin Bagi Penanaman Dalam Bekas (Containerised Planting)

Oleh Tuan   ~


Setelah beberapa lama saya buat pemantauan tentang amalan pembajaan bagi tanaman pokok tin dalam bekas di grup Tin Oh Tin, saya dapati banyak sekali ahli yang telah mengamalkan cara yang tidak betul dan boleh menyebabkan beberapa keadaan seperti berikut:

1.  Kecederaan (toksisiti) pada tanaman dan seterusnya boleh menjejaskan pertumbuhan pokok
2.  Keperluan baja bagi tanaman membesar tidak mencukupi
3.  Pengambilan baja oleh tanaman tidak optimum dan banyak pembaziran nutrien yang lesap bersama air pengaira.

Sifat pertumbuhan pokok tin

Sebelum menceritakan tip-tip yang patut diamalkan, kita seharusnya lebih memahami asas sifat pokok tin dan media pertumbuhan yang biasa digunakan. Pokok tin ialah sejenis pokok yang berbatang lembut, pertumbuhan agak cepat dan mempunyai akar rerambut yang banyak. Akar jenis inilah yang akan mengambil nutrien dihantar kedaun dan buah untuk pertumbuhan daun dan pembesaran pokok.  Bagi pertumbuhan yang baik, pokok tin memerlukan tanah yang ringan (light soils) dan mempunyai saliran yang baik dan sangat tidak tahan dengan air yang bertakung.  Media sebegini tidak berupaya memegang air dan juga nutrien dengan baik jika dibanding dengan media yang lebih berat.  

Tip penting dalam pembajaan pokok tin

Berasaskan maklumat-maklumat ini, tip-tip penting yang penting yang mana semua peminat pokok tin perlu beri perhatian adalah seperti berikut:

Pembajaan foliar

1. Guna pada kadar yang telah disyorkan bagi produk tersebut.  Jika produk masih belum diuji bagi tanaman pokok tin, mula dengan kepekatan yang rendah dan pertingkatan kepekatannya ketahap yang disyorkan bagi produk tersebut.

2. Baja hendaklah disembur pada daun (bawah & atas) dan juga batang.

3. Guna air yang bebas klorin untuk membuat larutan baja.  Klorin dikhuatiri bertindak balas dengan bahan aktif yang ada dalam baja.  Air yang berklorin boleh dirawat dengan membiarkan semalaman dibekas terbuka.

4. Masa terbaik adalah pada waktu pagi selepas air embun kering kerana pada masa ini pengambilan zat nutrien pada tahap optimum.

5.  Elakkan menyembur apabila berangin kuat untuk mengelakkan pembaziran baja.

Baja siraman

6.  Guna kepekatan dan kekerapan yang disyorkan bagi produk berkaitan. Cara yang terbaik ialah siram pada kepekatan yang rendah tapi lebih kerap.  Ini boleh mengatasi masalah keracunan pada akar muda dan pembaziran baja menerusi larut lesap.

7.  Cairan baja sebaiknya cukup untuk membasahi bahagian pertumbuhan akar. Ini untuk mengelak pembaziran baja. Sebagai panduan, akar yang mengambil makanan (feeder roots) banyak tertumpu pada hujung kanopi pokok.  Bagi bekas yang kecil, siram dibahagian tepi pasu. 

8.  Elak menyiram pada pangkal pokok kerana ini boleh memberi kesan yang tidak baik pada batang berkenaan.  

9. Masa yang sesuai adalah diwaktu pagi (tdak perlu tunggu embun kering)

Baja sebatian granul

10.  Guna pada kadar & kekerapan yang disyorkan untuk produk berkenaan. Terbaik ialah pada kadar yang rendah, tapi lebih kerap.

11.  Beri baja pada hujung kanopi daun atau pada tepi pasu

12.  Siram tanaman selepas pemberian baja agar granul resap ke kawasan pertumbuhan akar.

Baja organik

13. Amalan penggunaan baja organik adalah tidak begitu kritikal kerana kandungan nutrien adalah sangat rendah dan pembebasan adalah perlahan. Walau bagaimanapun, ada baik tidak diberi terlampau dekat dengan batang. Kandungan bahan organik yang tinggi dan lembab boleh menyebabkan kehadiran serangga perosak seperti pengorek batang (stem borer) dan fungus gnats.

Catatan

Guna formulasi dan jenis baja yang bersesuaian mengikut peringkat pertumbuhan pokok (Rujuk bahan bacaan dibawah)

Bahan bacaan berkenaan pembajaan

Nutrien Makro / Mikro Dan Fungsi Dalam Pertumbuhan Pokok Tin
Jenis-Jenis Baja Yang Terdapat Di Pasaran Untuk Pokok Tin
Peringkat Pertumbuhan & Pembajaan Pokok Tin

Tiada ulasan:
Write comments

Ingin membeli anak pokok tin berkualiti? klik > http://abecik.fig
Join Our Newsletter