9 Feb 2015

Media Pilihan Untuk Penanaman Pokok Tin Dalam Bekas (Containerised Planting)

Oleh Tuan   ~


Bahan asas ialah pasir, tanah bakar (atau tanah
lapisan atas), sekam bakar

Sebelum ini saya pernah bercerita dengan jenis-jenis bekas untuk sistem penanaman dalam bekas (containerised planting) dan termasuk polybag (seperti yang diamalkan dalam sistem fertigasi), pasu plastik, pasu seramik (pebagai saiz) dan seterusnya penanaman diatas tanah dengan menggunakan pembentung (culvert) atau plastik penghalang akar (root barrier).  Pemilihan jenis-jenis bekas adalah bergantung kepada skala sistem pengeluaran yang diamalkan.

Kita semua juga tahu media yang bersesuaian adalah sangat penting dalam pengeluaran pokok tin didalam bekas yang optimum.  Pada umumnya kita tahu pokok tin (dan begitu juga dengan tanaman lain) adalah sangat sensitif kepada pemberian air yang berlebihan (apatah lagi jika bertakung).  Media yang terlalu lembab akan menyebabkan kerosakkan pada akar dan akan mudah diserang penyakit dan serangga perosak.

Antara bahan media tambahan yang boleh 
digunakan selain daripada tanah dan pasir


Saya juga telah bercerita sebelum ini berkenaan dengan jenis bahan yang boleh digunakan untuk menghasilkan media untuk penanaman dalam bekas.  Bahan-bahan yang biasa digunakan adalah seperti berikut:

1.  Tanah bakar (burnt soil)
2.  Tanah lapisan atas (top soil)
3.  Pasir sungai (pasir kasar yang digunakan untuk membuat konkrit)
4.  Sekam bakar
5.  Sekam mentah (yang tidak dibakar)
6.  Habut sabut kelapa (cocopeat)
7.  Humus
8.  Tinja haiwan
9.  Baja asas (CIRP dan sebatian NPK)
10.  Arang hancur
11.  Spghanum peat moss
12. Vermiculite
13. Perlite

Penggunaan bahan-bahan ini walau bagaimana bergantung kepada keadaan setempat - sama da mudah diperoleh atau tidak dan kos yang berpadanan. Penggunaan bahan spghanum peat moss, vermuculite dan perlite adalah tidak sesuai bagi pengeluaran secara komersial kerana harganya agak mahal.  Yang amat penting kita mesti tahu apakah sifat-sifat bahan ini dan fungsinya dalam campuran media tersebut.  Peranan bahan-bahan diatas dalam campuran media adalah seperti brikut:

1. Pasir untuk ruang udara media tanaman dan pengaliran air.
2. Tanah bakar atau tanah lapisan atas (top soil) sebagai bahan utama medium dan pengikat bagi air, pasir dan bahan organik serta penyimpan baja daripada terlarut resap oleh air.
3. Bahan organik seperti tinja haiwan atau kompos sebagai baja asas dan pengikat bagi pasir dan penyimpanan air.
4. Sekam bakar atau serpihan arang kayu sebagai baja biochar dan pengikat / penyimpan baja.
5. Sekam mentah sebagai sungkupan dan jika digaul dalam medium sebagai pengembur bagi pengudaraan tanah.
6. Baja awalan seperti CIRP yang digaulkan sebagai alas untuk galakkan pertumbuhan akar pokok.
7. Kapur pertanian sebagai peneutral bagi mengelakkan tanah menjadi asidik (pH rendah).
8. Baja sebatian organik NPK (Contoh baja N:P:K = 8:8:8) sebagai sumber nutrien untuk pertumbuhan awal pokok.

Walau apa pun bahan yang digunakan dalam membuat campuran media tersebut, perkara yang penting yang kita mesti pastikan media mempunyai ciri-ciri berikut:

1.  Mempunyai saliran yang baik (tidak bertakung)
2.  Berupaya memegang air dan nutrien dengan baik
3.  Bebas dari sumber penyebab serangan penyakit, perosak dan rumpai.
4.  Stabil dari segi sifat kimia dan fizikalnya dalam jangka masa panjang.

Pada pandangan saya, media utama yang harus digunakan ialah pasir sungai kasar (bagi memastikan dapat saliran yang baik) dan tanah bakar / tanah lapisan atas (bagi memastikan media dapat memegang air dan nutrien untuk pertumbuhan). Ini kerana kedua-dua bahan ini stabil dan tidak banyak berubah sifatnya.  Bahan lain seperti sekam bakar, arang hancur, habuk sabut kelapa adalah tidak stabil dan akan hancur pada jangka masa tertentu.  Bahan-bahan lain seperti tinja kambing boleh digunakan sebagai sumber baja untuk pertumbuhan awalan tanaman.

Berdasarkan isu yang dibincangkan diatas, antara campuran bahan yang boleh digunakan untuk menghasilkan media penanaman adalah seperti berikut:

1.  Tanah lapisan atas atau tanah bakar (40%) + Pasir sungai (50%) dan Sekam bakar/arang hancur/sekam mentah/habuk kelapa/tinja haiwan (10%)

2.  Tanah bakar (40%) + Pasir sungai (50%) dan Sekam bakar/arang hancur/sekam mentah/habuk kelapa/tinja haiwan (10%)

3. Ramuan 50% organik & 50% mineral digaul rata : 1 bhg cocopeat +  1 bahagian tanah bakar (yangg merah) + 1/4 bahagian sekam bakar + 1/4 bahagian pasir halus + 1 genggam tinja kambing/ayam + 1/4 genggam CIRP

4. Tanah hitam, tanah bakar, tinja haiwan, sekam bakar dan sekam mentah yg dicampurkan dengan 30% - 40% pasir sungai (pasir kasar)

5.  Campuran : 5 bahagian pasir kasar + 4 bahagian tanah merah + 0.5 bahagian kompos + sedikit kapor pertanian + sedikit baja NPK15:15:15

CATATAN :

Contoh campuran yang diberikan adalah sebagai panduan sahaja. Peratus sebenar komponen pasir, tanah dan bahan organik adalah bergantung kepada amalan pengurusan yang akan diikuti, terutama dalam aspek regim pengairan.

Penghargaan

Terima kasih kepada M Yusuf Harun , Noorazimah Taharim , Azhar Saleh dan lain-lain yang telah berkongsi pengalaman untuk penulisan ini.

1 ulasan:
Write comments
  1. media tanaman yang paling sesuai jika mengunakan baja AB

    BalasPadam

Ingin membeli anak pokok tin berkualiti? klik > http://abecik.fig
Join Our Newsletter