8 Feb 2015

Bekas Tanaman (Container) Untuk Penanaman Pokok Tin

Oleh Tuan   ~

Sebelum ini banyak pertanyaan dalam grup-grup FB berkenaan perkara dengan adakah penanaman dalam bekas lebih sesuai berbanding dengan penanaman di atas tanah.  Jika ya, apakah jenis bekas (container) yang terbaik untuk pengeluaran pokok tin di Malaysia.

Untuk jawapan yang soalan pertama saya berani kata penanaman dalam bekas (containerised planting) adalah yang terbaik jika ianya ingin diusahakan di Malaysia.  Seperti yang kita semua tahu pokok tin adalah sensitif dengan pemberian air yang berlebihan dan boleh mati jika tidak dikawal dengan baik.  Keperluan ini sangat kritikal bagi negara seperti Malaysia kerana purata hujan adalah jauh lebih tinggi berbanding dengan apa yang diperlukan oleh tananam.  Kehadiran hujan kita tidak boleh kawal.   Walau bagaimanapun kita boleh kawal kesan terhadap tanaman dengan memastikan kawasan tanaman mendapat saliran yang baik dan tidak bertakung.  Apa yang dapat dilakukan untuk mendapat saliran yang baik ialah dengan menggunakan media tanaman dan bekas penanaman yang bersesuaian.


Bag plastik / Tidak tahan lama / Hanya sesuai
untuk pembiakan bahan tanaman sahaja


Pasu plastik / Ringan (mudah alih) / Tidak tahan lama
terutama sekali jika terdedah kepada cahaya matahari
(ada bermacam saiz dan bentuk) / Sesuai untuk 
dirumah bertingkat (kondo, pangsapuri dll)


Pasu seramik / berat (tidak mudah alih) / tahan lama
(ada bermacam saiz & bentuk)

Sistem pengakaran pokok tin

Dalam membincangkan berkenaan bekas tanaman yang bersesuaian, kita harus memahami beberapa perkara berkenaan sistem pengakaran pokok tin dalam habitat asal.  Fakta-fakta tersebut adalah seperti brikut:

1.  Fungsi utama sistem pengakaran pokok tin ialah untuk menegapkan pokok agar tidak mudah tumbang dan medium untuk pengambilan air dan nutrien dari tanah.  Akar pokok tin akan menjalar melebeihi hujung kanopi pokok dan banyak tertunpu kepada permukaan tanah.

2.  Pokok tin dilaporkan menghasilkan buah yang lebih banyak dan berkualiti apabila pertumbuhan akarnya dihadkan.  Berdasarkan kepada fakta ini, pokok tin adalah sangat sesuai diusahakan dalam bekas yang bersesuaian.

3.  Perebakan akar pokok tin bawah tanah adalah agresif dan tertumpu kepada kawasan permukaan tanah.   Tanpa kawalan perebakan akar, ianya boleh menjejaskan longkang dan struktur paip dikawasan rumah.

Berdasarkan kepada faktor ini, adalah satu keperluan bagi penanaman pokok tin dibuat didalam bekas atas dua sebab.  Pertama ialah untuk menghadkan pertumbuhan akar pada satu had isipadu tertentu.  Untuk tujuan ini, jika penanaman perlu juga dibuat diatas tanah, penghalang akar seharusnya dibuat. Ini termasuk membina penghalang pertumbuhan akar dibahagian tepi dan bawah kawasan tanaman tersebut. Walau apa pun struktur dibuat, ianya mesti mempunyai saliran yang baik agar air yang berlebihan mudah dialir keluar. Sebab yang kedua mengapa penanaman dalam bekas adalah lebih baik kerana kaedah ini memberi peluang kepada pengusaha untuk memberi media yang bersesuaian bagi pertumbuhan pokok yang optimum.

Penanaman dalam raga / Ada bermacam
saiz, mudah alih



Plastik penghalang akar (root barrier)
ringan / tidak kekal


Pembentung (culvert) / Kekal / Tahan lama
(Ada bermacam saiz - garis pusat & ketinggian)


Pasu daripada konkrit (garis pusat 18")


Buat bekas takungan dengan menggunakan batu bata

Pilihan bekas penanaman yang ada di pasaran

Sebelum kita membuat pilihan bekas macam mana yang diperlu diperoleh, lebih baik terlebih apakah pilihan bekas penanaman yang ada dan sifat-sifat utama jenis bekas tersebut.

1.  Polybag
Polybag ada pelbagai saiz bergantung kepada kegunaannya. Bekas polybag ini sesuai untuk digunakan dalam jangka masa yang singkat 3-6 bulan. Ianya ringan dan mudah untuk dikendalikan.

2. Pasu plastik
Pasu plastik juga ada pelbagai saiz dan bentuk (tinggi dan leper).  Ianya ringan dan mudah dikendalikan (mudah alih), bergantung kepada saiz dan media yang digunakan.  Pada umum ia tidak tahan jika dibandingkan dengan pasu tanah, terutama apabila sentiasa terdedah kepada matahari.

3. Pasu tanah  atau seramik
Pasu tanah tanah atau seramik adalah jenis pasu yang banyak digunakan oleh peminat bunga landskap dan juga kebun bandar.  Pada umumnya ianya tahan lasak walaupun terdedah kepada matahari yang berterusan.  Ianya lebih berat dan lebih susah hendak dikendalikan berbanding dengan pasu plastik.  Pasu tanah / seramik juga ada bermacam bentuk dan saiz.

4. Raga plastik
Raga plastik ini ada bermacam jenis (dari segi saiz dan produk).  Raga yang disyorkan ialah jenis yang digunakan oleh penggendali sayur dan buah-buahan dalam mengendalikan hasilan mereka. Bakul jenis ini adalah tahan lasak dan boleh alih jika perlu, bergantung kepada saiz bakul dan media yang digunakn.

5. Plastik penghalang akar
Plastik penghalang akar ini boleh dipotong mengikut keperluan ketinggan dan lebar garis pusat.  Ianya diperbuat daripada sejenis plasik dan kurang kekal berbandingan dengan pasu seramik atau tanah.  Bekas penanaman sebegini adalah tetap dan tidak boleh dipindahkan.

6. Pembentung konkrit / Kulvert
Pembentung ini ada beberapa saiz, sama ada dari segi besar dan ketinggian. Selain yang diguna untuk pembentungan, culvert konkrit juga banyak digunakan untuk penanaman pokok termasuk pokok tin.  Bekas konkrit seperti ini agak tahan lasak.  Satu kelemahan bekas ini ialah ianya tidak boleh di pindah tempat. Sehubungan dengan itu, ia lebih sesuai bagi kawasan penanaman yang tidak menerima hujan yang berlebihan atau kawasan yang mempunyai sistem teduhan hujan.





Tiada ulasan:
Write comments

Ingin membeli anak pokok tin berkualiti? klik > http://abecik.fig
Join Our Newsletter