22 Feb 2015

Perosak Pokok Tin - Ulat Ribu / Ulat Ratus (Spodoptera sp)

Oleh Tuan   ~

Dalam keadaan cuaca yang panas, kering dan pertumbuhan pokok yang sangat aktif pada masa sekarang, saya telah mengambil keputusan untuk memberi baja pada kadar yang lebih berbanding dengan biasa.  Disamping baja sebatian yang ditabur ditanah, saya jga telah memberi baja foliar yang mengandungi K yang tinggi dan juga formulasi penggalak pertumbuhan.  Memang kesan amat nampak jelas dengan pertumbuhan pucuk baru dan membesar dengan aktif sekali.  

Simptom kehilangan tisu lapisan atas daun. Pada masa
itu apa yang saya boleh kaitkan ialah kesan lecur
disebabkan baja sebatian atau foliar yang berlebihan

Simptom kerosakan

Pada satu pagi saya tersentak dengan dengan apa yang terdapat pada beberapa helai daun dari satu pokok tin saya. Beberapa helai daun nampak mengering. Pada peringkat awal, apa yang saya boleh kaitkan ialah kelecuran disebabkan berlebihan baja sebatian dan baja foliar yang diberi.  Tiada apa yang saya boleh buat selain daripada memberi air secara berlebihan agar jangkaan berlebihan baja dapat cepat dilarut lesap.  Walau bagaimanapun jangkaan awal saya adalah tidak benar kerana beberapa hari kemudian saya ternampak puluhan ulat kecil (panjang lebih kurang 2 mm) sedang memakan lapisan kulit bahagian atas daun muda (pucuk).  Rupa-rupanya kesan yang ternampak semacam lecur itu adalah disebabkan larva ini.


Ternampak larva apabila pada pucuk muda yang
terbaharu terkena serangan ulat ini


Pandangan jarak dekat.  Larva nampak telus cahaya
dan kecil - saiz dalam lingkungan 2 mm sahaja

Pengecaman serangga perosak

Apabila masalah serangga ini dirujuk dengan kawan kenalan entomologi (kaji serangga), mereka telah mengesahkan ulat ini ialah larva kepada sejenis kupu (Spodoptera sp) atau lebih dikenali dengan ulat ratus atau ulat ribu bagi penaman-penanam tembakau.  Serangga dewasa bagi larva ini ialah sejenis kupu-kupu kecil (saiz lebih kurang 6 mm panjang dan 15 mm lebar sayap mengembang).


Kaedah kawalan

Kaedah kawalan bagi larva serangga ini agak mudah.  Saya telah menggunakan Fumakila H2O2 yang telah tersedia ada dan didapati berjaya menghapuskan serangan larva serangga ini pada pokok tin berkenaan. Jika mengikut pengesyoran yang dibuat bagi tanaman tembakau, serangga ini boleh dikawal dengan menggunakan racun-racun yang berjernama Decis, Fastac, Confidur atau Karate. Racun beasaskan bakteria BT juga dilaporkan berkesan untuk mengawalnya. Racun perosak organik yang dihasilkan dari adunan bawang besar, bawah puteh, cili dan air sabun juga dilaporkan berkesan untuk mengawal perosak ini.

Bacaan tambahan

Racun Organik Untuk Kawalan Bena Puteh (Kutu Daun atau Aphid)

Tiada ulasan:
Write comments

Ingin membeli anak pokok tin berkualiti? klik > http://abecik.fig
Join Our Newsletter