17 Jan 2015

Pokok Tin Perlu Dipangkas Untuk Pertumbuhan Optimum

Oleh Tuan   ~

Dalam grup-grup FB pokok tin, tidak banyak yang membincang berkenaan dengan pemangkasan. Apa yang banyak dibincang ialah perkara yang berkaitan dengan varieti dan masalah pertumbuhan seperti masalah perosak, penyakit dan juga yang berkaitan dengan pemberian nutrien yang tidak seimbang (berlebihan atau kekurangan).  Ramai petani tidak sedar berkenaan keperluan untuk membuat pemangkasan kerana secara umum pertumbuhan pokok adalah baik dan tidak nampak bermasalah.  Tapi mereka tidak sedar dengan mengamalkan teknik pemangkasan yang betul, pokok tin mereka boleh hidup dengan lebih subur dan berupaya mengeluarkan buah dengan lebih banyak dan berkualiti.

Pada posting kali saya akan bercerita sikit berkenaan beberapa isu yang berkaitan dengan pemangkasan....

Apa itu pemangkasan

Pemangkasan ialah satu proses pembuangan sebahagian daripada tanaman bagi tujuan mempengaruhi pertumbuhan ke arah yang dikehendaki atau merangsang pembungaan.   Seperti juga tanaman lain, pertumbuhan yang baik pokok tin juga bergantung kepada proses pemangkasan yang sempurna.

Tujuan pemangkasan

Tujuan pemangkasan adalah seperti berikut:

  1. Membentuk tanaman ke struktur pembesaran yang dikehendaki agar buah terhasil pada tahap optimum
  2. Mengimbangkan bahagian akar dan bahagian vegetatif (agar) pertumbuhan juga seimbang.  Jika tidak seimbang, pokok mungkin akan menghadapi masalah bahagian daun yang berlebihan dan akan menyebabkan sistem pengakaran tidak mampu menyokong.
  3. Mengubah status penyimpanan makanan pokok.  Membuang sebahagian daun akan menyebabkan sumber makanan akan tertumpu kepada dahan yang tertentu bagi pengeluaran hasil buah yang terbaik
  4. Membaiki sistem pengaliran udara kawasan tanaman. Ini boleh mengurangkan masalah yang berkaitan dengan kelembapan yang tinggi seperti karat daun.


Pemangkasan pucuk (bersunat) anak 
pokok yang baru dipindah ke 
ladang / bekas penanaman
Pertumbuhan ranting baru yang subur
hasil dari pemangkasan rendah

Teknik pemangkasan

Peringkat-peringkat pemangkasan adalah seperti berikut:

1.     Pemangkasan pertama hendaklah bermula setelah pokok pulih setelah dipindah petak semaian ke ladang atau bekas tanaman yang bersesuaian.  Pada peringkat ini, tanaman adalah dalam lingkungan 2-3 kaki tinggi.  Anak benih yang baru ditanam biasanya mempunyai satu batang utama tanpa ranting susur.  Pemangkasan pucuk dibuat bertujuan untuk memberhentikan pertumbuhan hujung (terminal growth).  Ini secara tidak langsung merangsangkan pertumbuhan ceding susur dibahagian bawah. Pertumbuhan ceding yang terbaik ialah pada ketinggian 3-4 inci dari paras tanah.  Sehubungan dengan itu, jika pokok sudah tinggi dan tiada cabang sisi terbentuk, adalah terbaik jika pemangkasan dibuat lebih rendah (bukan setakat buang 3-4 helai pucuk sahaja)

Pemangkasan selepas pokok berbuah
(pemangkasan rendah)


 Pertumbuhan ranting baru 

(1 bulan selepas pemangkasan)


2.    Pemangkasan peringkat kedua seharusnya dibuat pada setiap selepas berbuah atau selepas musim sejuk / hujan dimana pada masa ini pertumbuhan adalah tidak aktif.   Langkah pemangkasan yang harus dilakukan adalah seperti berikut:

a)    Buang semua dahan / ranting yang tidak aktif membesar dan ranting-ranting yang mati disebabkan penyakit dan perosak.  Ranting-ranting sulur yang terdapat pada pangkal pokok mesti juga dibuang.   


b)   Peringkat kedua kedua ialah membuang dahan sulur (dahan yang tumbuh pada dahan utama) yang tumbuh pada sudut kurang daripada 45 darjah.  Pemangkasan pada peringkat ini bertujuan untuk membuang dahan yang sangat dekat dengan dahan utama.  Dahan sulur ini biasanya tidak akan menghasilkan buah.

c)   Peringkat ketiga atau terakhir ialah memangkas rendah dahan utama pada tahap 1/4 atau 1/3 daripada ketinggian asal.  Langkah ini akan memastikan pokok mempunyai simpanan makanan yang diperlukan untuk pembentukan buah yang lebih besar dan manis.

Cara menjalankan pemangkasan

Pemangkasan hendaklah dijalankan pada selepas musim basah (hujan) dimana kebiasaanya pertumbuhan mula kembali aktif.  Bagi negeri-negeri yang mempunyai musim kering yang agak khusus (distict dry seasons) seperti Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis, sebaiknya pemangkasan dibuat pada bulan Januari atau awal Febuari.  Pada masa itu cuaca agak kering, pertumbuhan kembali aktif.  Ini akan memberi peluang untuk pertumbuhan pucuk baru, mengeluarkan putit buah dan seterusnya sedia untuk dipetit pada bulan Jun sebelum musim hujan bermula selepas itu.

Guna scatier untuk
buat pemangkasan


Boleh guna lilin untuk menutup
kawasan luka

Lilin digunakan pada keratan
batang untuk tujuan sama


Pemangkasan hendaklah dijalankan dengan menggunakan scatier yang tajam agar keratan yang bersih (clean cut) akan terhasil. Kawasan yang luka akibat pemangkasan hendaklah dirawat dengan bahan penutup keratan (sealing compound) agar titik keratan tidak akan mudah meresap air dan seterusnya mengelakkan dari serangan penyakit atau serangga perosak pada titik keratan. Sebagai contoh Longhorn beetle suka datang untuk makan kulit jika tidak diberi rawatan.  Ini mungkin kerana bauh cecair sap yang terhasil. pada titik keratan tersebut.   Antara bahan yang boleh digunakan untuk tujuan tersebut ialah lilin (seperti dalam gambar), celak cat kayu atau lipstik.  Bahan tersebut disapu setelah sap yang terkeluar dari titik keratan dikeringkan.

Dengan mengamalkan sistem pemangkasan yang baik seperti diatas, adalah diharapkan buah tin yang dihasilkan lebih besar dan manis.

Penghargaan

Ribuan terima kasih diucapkan kepada Tn. Malik Yusof , Silver Art Bengal Redland-FigCarica Pokok Tin, Mohd Kamaruddin Abd Hamid dan Fahmie Formeniaga yang telah berkongsi maklumat untuk penulisan ini.

Bacaan tambahan

Apakah Tujuan Pemangkasan Pucuk (Bersunat)
Pemangkasan Cabang Sulur Untuk Mengalakkan Pertumbuhan Dahan Utama
Sistem Pengeluaran - Pemangkasan

1 ulasan:
Write comments
  1. Salam
    Tuan bole bantu saya? Pokok tin saya diserang penyakit daun karat yg teruk. Habis semua putik buah gugur, pokok dlm keadaan baik dgn ada buah biji ketam masalah timbul bila saya pindahkan kepasu yg lebih besar kerana pasu asal kecil dan ringan byk kali terbalik ditiup angin kencang. Now pokok da togel dan cuma ada pucuk di batang paling atas. Apa saya perlu lakukan? Saya da sembur racun cecair utk prob daun tu tpi xberhasil.

    BalasPadam

Ingin membeli anak pokok tin berkualiti? klik > http://abecik.fig
Join Our Newsletter