27 Jan 2015

Maziah Puas Tanam Pokok Tin (Harian Metro - 29-08-2014)

Oleh Tuan   ~

Majalah M


Oleh Siti Zarinah Sahib

Setiap petang selepas selesai mengajar di Sekolah Kebangsaan Rinching, Hilir Bangi, berbekalkan sebekas air dan tangan dibalut plastik, Maizah Jalil berada di halaman rumahnya bagi membersihkan daun kering serta menyiram pokok tin yang ditanam sejak lebih 10 tahun lalu.

Menyaksikan setiap pokok tumbuh segar serta buah bergayutan pada rantingnya, jelas menunjukkan kecintaan wanita ini dalam bidang tanaman. Malah dia sanggup membalut satu persatu buah tin dengan sabar menggunakan plastik kecil bagi mengelak buah dimakan burung dan tupai.

Buah yang sudah masak berwarna ungu kemerahan dipetiknya sama ada dimakan begitu saja atau dijadikan jem. Buah tin segar sangat enak kerana rasanya yang lemak dan manis manakala isinya berkhasiat untuk mereka yang menghadapi masalah usus, berbeza dengan buah yang sudah dikeringkan. Daunnya pula boleh direbus dan dijadikan minuman panas sama seperti teh.

Jika diperhatikan halaman rumah teres dua tingkat itu bukan saja meriah dengan tumbuhan hijau pokok tin, mendongak ke atas terlihat juntaian anggur yang masih menghijau manakala daunnya merimbun melilit sebahagian kayu yang disediakan di situ.



MAIZAH melindungi buah tin menggunakan plastik bagi 
mengelak ancaman serangga.


“Anggur ini sudah banyak kali berbuah, puas kami sekeluarga makan hasilnya. Buahnya pula tidak bermusim. Rasanya sama seperti dijual di pasar, segar dan manis,” kata Maizah sambil membawa penulis meninjau kebun kecil di sekitar rumahnya.

Memilih hobi menanam buah-buahan yang sukar tumbuh di Malaysia, jelasnya, kecintaan terhadap bidang tanaman bermula sejak kecil kerana dia sering melihat ayah melakukan proses penanaman pokok menerusi kaedah tut. Sejak itu dia mula mencuba sehingga lama-kelamaan menjadi hobi yang sukar ditinggalkan.

“Sudah terbiasa dengan buah-buahan kampung, saya terfikir untuk menanam pokok yang jarang tumbuh di Malaysia seperti anggur, epal, kiwi dan mulberi. Namun sebelum melakukan proses penanaman, saya membuat kajian terlebih dulu mengenai jenis tanah dan baja supaya tanaman berada dalam keadaan baik. Alhamdulillah, pokok epal yang hanya ditanam di halaman rumah sudah berbuah lima kali, begitu juga dengan anggur, kiwi dan mulberi,” katanya.

Bukan itu saja, rumah teres dua tingkat di Bandar Bukit Mahkota, Kajang itu turut dikelilingi tumbuh-tumbuhan herba seperti kantan, lengkuas, serai, daun kesum dan ulam-ulaman yang hidup subur.


Terapi jiwa

Sebagai guru yang bertugas pada waktu pagi, Maziah menggunakan masa terluang selepas balik dari sekolah untuk menjaga pokok di halaman rumahnya. Ia bagaikan satu terapi jiwa apabila melihat semua tumbuhan hidup dan bercambah daunnya dengan subur.

Malah sentuhan magis tangannya setiap kali membelai daun kecil diikuti senyuman manis setiap kali mendekati pokok menjadi petua yang diamalkan supaya setiap tanaman hidup subur dan mekar.

“Saya sangat suka berkebun apabila melihat pokok mula mengeluarkan buahnya. Satu keseronokan melihat epal, anggur dan buah tin masak dan mampu dirasai bukan saja seisi keluarga tetapi jiran sekeliling dan rakan dari luar daerah,” katanya yang turut mendapat sokongan suami, Dol Malek Md Sap yang turut berkongsi hobi yang sama.

Suami Maizah turut sama menjalankan kajian, mencari biji benih dan teknik penanaman berkesan supaya pokok yang ditanam membuahkan hasil yang diinginkan.

Bermula sebagai hobi, kini tanaman pokok tin mula dikomersialkan secara kecil-kecilan apabila Maizah mula berkongsi dengan pembaca menerusi laman sosial Facebook Amanda Putri’s Fig Garden mengenai teknik tanaman dan cara penjagaannya.

Pada mulanya dia hanya menulis sekadar suka-suka mengenai penanaman buah tin, lama-kelamaan ramai yang bertanya dan ingin membeli benihnya.

“Saya dan suami mula mencari teknik pencantuman benih atau tut paling praktikal dan mudah supaya dapat dihantar kepada mereka yang ingin mencuba. Saya membiarkan pokok ini hidup terlebih dulu selepas dipos kepada pelanggan bagi memastikan mereka menerima pokok yang benar-benar hidup dan boleh ditanam di rumah,” katanya.

Biasanya pokok yang sudah ditut hanya mengambil masa empat bulan untuk berbuah. Hanya biarkan tumbuhan ini tumbuh di kawasan lapang, mendapat pencahayaan, air dan baja yang cukup.

“Untuk pokok tin, saya menggunakan 50 peratus pasir dan 50 peratus tanah campuran organik. Baja hanya diletakkan seminggu sekali manakala air perlu disiram setiap hari,” katanya.

Pokok ini juga boleh hidup di dalam pasu kerana pokoknya tidak terlalu tinggi dan besar. Keadaan ini berbeza sekiranya ditanam di tanah kerana pokoknya akan membesar seperti tumbuhan lain.

“Bagi mereka yang tinggal di kawasan perumahan, boleh cuba menanamnya di dalam pasu kecil, kemudian memindahkannya ke dalam pasu besar,” katanya yang kini mula menghasilkan kebun mini pokok tin di kampung suami di Melaka.

Sejak menanam pokok tin lebih 10 tahun lalu, rumah kediaman pasangan ini sering menerima kunjungan tetamu dari seluruh pelosok negara. Ada yang datang semata-mata ingin melihat pokok dan buah tin, ada yang ingin mendapatkan biji benih dan ada juga ingin mendapatkan panduan mengenai kaedah penanaman.

“Setiap kali tetamu datang, kami seboleh-bolehnya cuba memenuhi permintaan mereka setakat termampu. Mereka mempunyai keinginan yang tinggi untuk sama-sama menanam pokok tin dan kami tidak lokek berkongsi rahsia dengan mereka,” ujarnya yang menjual benih tut pokok tin menerusi dalam talian.

Pada masa depan, Maziah dan suami berhasrat ingin mengkomersialkan penanaman pokok tin supaya dapat dinikmati semua. Dia juga teringin mencuba menanam pokok zaitun bagi mengetahui sama ada ia mudah tumbuh dan sesuai dengan iklim di Malaysia atau sebaliknya.

“Saya tidak akan berhenti mencuba dan menjalankan kajian mengenai pokok yang jarang tumbuh di Malaysia. Sama seperti buah tin dulu, ramai yang kata mustahil ia dapat hidup dalam cuaca panas dan kering tetapi kami sudah membuktikannya.

Jika kena dengan cara, jenis tanah, baja dan teknik penanaman, ia tidak menjadi masalah,” kata Maziah yang mempunyai enam anak dan masing-masing mempunyai hobi dan minat berkebun.Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/29

Rujukan : 

Tiada ulasan:
Write comments

Ingin membeli anak pokok tin berkualiti? klik > http://abecik.fig
Join Our Newsletter