6 Jan 2015

Apakah Kegunaan Sphaganum Peatmoss, Cocopeat, Sekam Bakar dan Perlite / Vermiculite?

Oleh Tuan   ~

Apabila saya menelilit perbincangan yang diutarakan dalam grup WhataApp dan Telegram grup-grup pokok tin, saya dapati masih ramai yang tidak memahami bahan utama yang digunakan dalam pembiakan dan penanaman pokok tin dalam bekas.  Pada posting kali ini saya cuba menerangkan apa itu Sphaganum Peatmoss, Cocopeat, Sekam Bakar, Perlite & Vermiculite.  Saya juga akan cuba menerangkan tujuan penggunaanya dan sifat-sifat utama bahan-bahan tersebut.


Sphaganum peatmoss (Sumber Gambar)

Sphaganum peatmoss

Sphaganum ialah sejenis lumut dan merupakan bahan perawat tanah yang amat baik.  Ianya  boleh mengawal kelembapan kawasan akar pokok demi pertumbuhan yang ideal.  Bahan ini boleh memperbaiki tanah yang berpasir atau pun tanah liat untuk pertumbuhan tanaman.  Kebanyakkan yang terdapat dipasaran Malaysia adalah diimport dari New Zealand, Kanada atau Holland Sphaganum peatmoss yang diimport dari China dikatakan kurang berkualiti kerana muda reput. Bahan ini bersifat neutral dan tidak mudah reput, bebas dari rumpai, musuh perosak dan tahap keasidan yang stabil.  Sphaganum peat banyak digunakan dalam sebagai media bagi pengakaran pokok tin.

Cocopeat (Sumber gambar)

Cocopeat

Cocopeat ialah hasil sampingan daripada industri pemprosesan sabut kelapa untuk mendapatkan fiber (serabut).  Bahan ini juga berfungsi sebagai bahan untuk mengekal kelembapan media tanaman.  Berbanding dengan Sphaganum peatmoss, cocopeat adalah mudah reput.  Apabila reput, bahan ini akan menjadi asidik.  Bahan ini juga bebas daripada perosak dan sumber rumpai. Cocopeat juga banyak digunakan sebagai media untuk pertumbuhan akar semaian pokok tin.  Jika bahan ini digunakan dalam jangka masa panjang, pemantauan nilai pH hendaklah sentiasa.  Nilai pH boleh distabilkan ke tahap yang optimum untuk tanaman dengan menggunakan kapur pertanian seperti GML (Ground Magnesium Limestone) atau dolomite.

Sekam bakar (Sumber gambar)

Sekam bakar

Sekam bakar atau juga dikenali dengan arang sekam ialah bahan yang terhasil dari pembakaran sekam (kulit) padi secara terkawal iaitu cukup menjadi arang sahaja atau dengan kata lain tidak menjadi abu.  Sekam bakar yang terbaik ialah yang baru dan tidak terlalu hancur.  Pembakaran ini akan menyebabkan semua sumber bahan hidup seperti benih padi, rumpai dan juga mikrorganisma hidup lain akan mati.  Seperti juga arang, sekam bakar boleh memegang air dan membaiki struktur media tanaman untuk pertumbuhan tanaman yang optimum.

Vermiculite (Sumber gambar)

Perlite (Sumber gambar)

Perlite / Vermiculite

Perlite atau vermiculite ialah mineral silika yang telah mengalami pemanasan pada suhu tinggi.   Proses ini telah menyebabkan mineral telah melalui proses pengembangan (semacam pop corn).  Hasilan daripada proses tersebut, mineral berkenaan akan menjadi steril dan mampu menyerap air dengan banyak dan sebaliknya boleh dikeringkan dengan cepat.  Sehubungan dengan itu, kedua-dua bahan ini digunakan untuk meningkatkan isi padu, saliran dan pengudaraan pada media pengakaran.  Bahan ini juga tidak mudah terurai dalam beberapa tahun.   Pelite / Vermiculite masa ini banyak digunakan sebagai bahan dalam media pengakaran tanaman.  Ianya tidak digunakan sebagai media penanaman secara komersial kerana kosnya yang agak tinggi.  Bahan-bahan ini bersifat neutral.

Perbezaan utama antara perlite dan verculite ialah dari segibentuk fizikal dan ini ada hubungkait dengan batu asal ianya terhasil.   Pada umunya perlite lebih cekap dalam penyimpanan nutrien untuk tanaman dan saliran.   Sebaliknya vermiculte berupaya mengekalkan kelembapan dengan lebih baik disamping dapat mengekalkan calcium, potassiun dan magnesium.

Tiada ulasan:
Write comments

Ingin membeli anak pokok tin berkualiti? klik > http://abecik.fig
Join Our Newsletter