9 Jan 2015

7 Sifat Media Tanaman Yang Baik Untuk Pokok Tin

Oleh Tuan   ~

Antara bahan yang digunakan dalam membuat media tanaman

Pokok tin adalah sejenis tanaman pada umumnya mudah hidup dan mudah sesuai dengan keadaan cuaca setempat.  Walau bagaimanapun, pokok tin sangat sensitif kepada air berlebihan.  Sehubungan dengan itu, pada masa ini kebayakkan fig yang ditanam di Malaysia (sama ada secara kecil-kecilan atau komersial) telah mengusahakan penanaman dalam bekas (containerised planting).  Bagi penanaman dalam bekas, pengusaha boleh memberi media yang terbaik untuk pertumbuhan pokok yang terbaik.  Untuk menghasilkan media yang terbaik ini, beberapa bahan telah digunakan.  Bahan utama yang biasa digunakan ialah tanah lapisan atas (sama ada dibakar atau tidak) dan pasir sungai kasar, cocopeat (habuk sabut kelapa), sekam padi bakar dan mineral semula jadi seperti azomite dan zeolite.

Persoalannya, apakah sifat-sifat media yang baik untuk pertumbuhan pokok tin. Diposting ini saya cuba menyenaraikan sifat media yang baik untuk pertumbuhan pokok tin.  Antara sifat media yang terbaik untuk pertumbuhan pokok tin adalah seperti berikut:

1.   Media yang baik semestinya mempunyai saliran yang baik dan tidak akan menyebabkan air bertakung dalam jangkamasa yang lama.  Ini penting kerana pokok tin amat sensitif kepada kehadiran air yang berlebihan.  Air yang berlebihan boleh menyebabkan akar menjadi reput, dijangkiti penyakit dan seterusnya boleh menyebabkan kematian pada pokok.  Ini sangat kritikal terutama sekali jika penanaman dikawasan terbuka (tidak dibawah struktur pelindung hujan).

2.   Berupaya memegang baik air dengan baik.  Air adalah komponen utama dalam biomass pokok termasuk pokok tin. Air diperlukan untuk proses pengambilan sumber nutrien dari media tanaman menerusi akar.  Media yang berupaya memegang air dengan baik akan mengurangkan kekerapan untuk memberi air kepada tanaman, terutama sekali dalam keadaan kering pada musim kemarau.

3.  Media yang baik berupaya memegang nutrien tanaman (dari baja yang diberi) agar sentiasa tersedia untuk diambil oleh akar untuk kehidupan pokok berkenaan. Media seperti ini mengurangkan pembaziran nutrien yang boleh berlaku semasa penyiraman.

4.  Satu lagi sifat media yang baik ialah seharusnya bebas daripada semua jenis patogen penyakit. Ini sangat penting kerana media mungkin penyebab utama dalam perabakan penyakit terutama sekali penyakit yang membiak dalam tanah (soil borne diseases) seperti penyakit-penyakit yang menyerang akar.

5.  Media yang baik juga seharusnya bebas dari sumber yang boleh menyebabkan perebakan serangga perosak kepada tanaman.  Antara perosak yang terdapat dalam media tanaman dan memberi masalah kepada tanaman tin ialah cacing nematod.

6.  Media yang baik juga seharusnya bebas dari semua jenis biji rumpai.  Ini akan memastikan rumpai pada media tanaman dapat dikawal dengan baik.

7.   Faktor kestabilan dalam jangka masa tertentu juga penting diambil kira. Media tanaman seharus stabil dalam jangka masa yang lama seperti bertukar sifat fizikal atau sifat kimia hasil dari proses pereputan bahan campuran media tersebut.



Tiada ulasan:
Write comments

Ingin membeli anak pokok tin berkualiti? klik > http://abecik.fig
Join Our Newsletter