9 Jan 2015

5 Sebab Utama Mengapa Buah Tin Boleh Gugur Sebelum Matang

Oleh Tuan   ~


Gambar diatas ialah satu screenshot dari satu posting di grup FB pokok tin.  Saya boleh merasai bagaimana keciwanya pemilik pokok ini apabila melihat buah-buahnya yang masih kecil berguguran jatuh ketanah setelah beberapa minggu (atau bulan) menunggu saat pokok tersebut untuk berbuah. Lagi keciwa jika ini adalah kali pertama pokok hasilan usaha beliau mula berbuah.  Keguguran buah seperti ini berlaku pada beberapa peringkat pembesaran sama ada diperingkat putit yang masih kecil (seperti diatas) atau beberapa peringkat pembesaran yang lain.  Buah yang gugur sebelum matang tidak boleh dimakan dan tidak akan masak semasa penyimpanan.

Tapi mengapakah keadaan ini berlaku?.  Untuk menjawab persoalan ini, saya telah membuat sedikit pembacaan dan perbincangan dengan sifu pokok tin berpengalaman.   Dari apa yang saya faham keguguran buah mungkin disebabkan 5 faktor utama seperti berukut:

1.  Pemberian air yang tidak mencukupi

Dalam keadaan kekurangan air yang melampau, buah tin boleh gugur sebelum matang atau tidak berbuah langsung.  Antara simptom lain yang berkaitan dengan kekurangan air (water stress) ialah pertumbuhan yang tergencat dan daun kekuningan.  Ini secara terus berhubung kait dengan pengambilan sumber nutrien yang terhad untuk keperluan pertumbuhan yang optimum.  Masalah ini boleh diatasi dengan pemberian air yang mencukupi.  Penggunaan lapisan sungkupan organik yang nipis boleh membantu mengekalkan kelembapan tanah dan mengurangkan keperluan pemberian air.  

2.  Pemberian baja N yang berlebihan

Pemberian baja yang berlebihan, terutama sekali baja yang kaya dengan unsur Nitrogen (N) boleh menyebabkan keguguran buah sebelum matang.  Baja yang mengandungi N yang tinggi seharusnya diberi pada awal pertumbuhan (peringkat pembesaran) atau selepas pemangkasan untuk pertumbuhan selajutnya.  Pada pokok yang mula berbuah, baja yang diberi hendaklah mengandungi potassium (K) yang tinggi.  Nutrien K berfungsi untuk memperkuatkan struktur sel-sel tisu dan fiber bagi semua bahagian tanaman termasuk buah.  Ini akan menyebabkan buah yang terbentuk tidak mudah gugur.  K yang tinggi akan menyebabkan sintesis kanji dengan lebih cekap didaun dan kemudian dipindahkan ke organ penyimpanan kanji iaitu buah.  

3.  Penggunaan varieti yang salah

Pada umumnya kita tahu bahawa pokok tin yang dikelaskan sebagai "Common fig" adalah jenis pendebungaan sendiri (self pollination) dan tidak memerlukan serangga untuk proses tersebut.  Sebaliknya jenis "Caprig" dan "San Pedro" memerlukan khidmat sejenis serangga yang lebih dikenali dengan "Fig wasp" untuk pendebungaan. Jenis "Caprifi" memerlukan kacukan silang dengan Caprifig untuk menghasilkan buah.  Sehubungan dengan itu, pastikan anak benih yang dibeli hendahlah dari jenis "Common Fig".

Pemerhatian daripada pengusaha pokok tin juga menunjukkan bagi jenis "Common Fig" itu sendiri, fenomena buah gugur ini adalah berbeza antara varieti.  Antara varieti yang dikenalpasti buahnya tidak mudah gugur ialah Brown Turkey, Hardy Chicago, Masui D dan Taiwan Golden Fig (TGF).

4.  Pengeluaran putit buah pada pokok yang belum matang

Kadangkala diatas sebab-sebab tertentu, pokok akan mengeluarkan putit buah walaupun ianya belum matang.  Belum matang disini bermaksud pokok yang sedang berada dalam proses pembesaran dan pertumbuhan pucuk atau ranting baru.  Jika ada buah yang terhasil daripada pokok seperti ini, buah pada kebiasaanya akan gugur sebelum matang sempurna.  Ini kerana buah berkenaan tidak memperoleh nutrien yang mencukupi untuk pembesaran buah berkenaan.  Kebanyakkan nutrien yang diambil oleh akar digunakan untuk pertumbuhan pucuk / ceding baru.  Antara varieti yang sensitif dalam keadaan begini ialah Celeste, Alma, Kadota, Pastilliere dan Tena.

5.  Perosak & penyakit

Masalah penyakit dan perosak juga boleh menyebabkan masalah buah gugur pra matang. Antara perosak tersebut ialah cacing nemtaod.  Cacing ini boleh menyebabkan pertumbuhan akan tergencat, daun kekuningan dan layu.  Jika terjangkit, masalah nematod adalah sangat sukar diatasi.  Penggunaan racun kimia untuk mengawal perebakan cacing ini adalah tidak berkesan.  Pasir yang digunakan untuk membuat campuran media hendaklah bebas daripada perosak ini. Nematod tidak tahan keadaan yang bertakung.  Jenis pasir yang terbaik ialah pasir sungai kerana ianya bebas dari nematod.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan kebanyakkan masalah yang berkaitan dengan buah gugur pra matang adalah disebabkan pengurusan tanaman yang tidak sempurna. Pokok yang subur akan menghasilkan buah yang terbaik. Satu lagi ialah penggunaan varieti yang tidak sesuai dengan kawasan sekitar.



Tiada ulasan:
Write comments

Ingin membeli anak pokok tin berkualiti? klik > http://abecik.fig
Join Our Newsletter